Monday, June 15, 2015

BERPUASA TETAPI KERAP MENINGGALKAN SOLAT


           Tidak Benar  pendapat orang  yang  mengatakan tidak sah puasa orang yang tidak  menunaikan salat fardu, puasa  adalah  puasa,  salat  adalah  salat,  masing-masing  ada  rukun  dan  syaratnya. Jika cukup rukun dan syarat puasa, mengapa   pula   tidak sah.  Tetapi  saudara  perlu ingat, salat  dan puasa, kedua-duanya merupakan rukun Islam yang  wajib  disempurnakan  secara bersama, malah semua rukun Islam yang terdiri daripada  sembahyang, puasa, zakat dan haji, dikehendaki supaya ditunaikan semuanya dengan sempurna. Sesiapa yang meninggalkan salah satu daripadanya tanpa uzur, dia   dianggap   meninggalkan  rukun  Islam  dan  menceroboh  hukum  Allah.  Kesejahteraan imannya sangat dibimbangi.

        Saudara saudari yang terlibat dengan tabiat ini perlu betaubat segera. Sekarang bulan Ramadan, bulan penuh rahmat dan keberkatan sangat baik jika saudara bertaubat dan tidak akan mengulangi kesalahan meninggalkan salat.  Kita tidak mengetahui bila kita akan dipanggil Allah untuk mengadap-Nya dan menjawab mengapa kita tidak bersalat. Di dalam riwayat menyatakan, soalan pertama akan ditanya di Akhirat ialah tentang salat, jika baik salat, maka yang lain-lain akan didapati baik, jika didapati salatnya buruk, maka yang lain-lain juga buruk. Oleh itu saudara yang berkenaan, dikehendaki bukan sahaja bersolat, tetapi juga menunaikannya dengan betul.


       Ulama mempunyai beberapa jawapan tentang hukum orang yang meninggalkan salah satu daripada rukun-rukun Islam, ada pendapat menyatakan orang itu kafir, ada pendapat menyatakan kafir orang yang meninggalkan salat dan zakat sahaja dan ada pula pendapat kafirkan orang yang meninggalkan salat sahaja, dengan alasan salat sebagai tiang agama seperti yang saudara sebutkan. Pendapat-pendapat ini boleh dirujuk kepada (Dr. Wahbah al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami Wa Adilltuh, 1/502). Hujah yang berkaitan soalan ini ialah hadis riwayat Jabir Ibn Abdullah (r.a.) baginda bersabda yang bermaksud:

بَينَ الرَّجُلِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاةِ


Terjemahan: Sempadan antara seorang manusia dan kufur ialah meninggalkan solat. (Muslim, kitab al-Iman, bil. 82)

Menurut pendapat sebahagian ulama: Orang yang meninggalkan salat, tentu sekali puasanya tidak diterima Allah. Alasan mereka ialah orang yang meninggalkan salat itu kafir dan tidak sah ibadat ibadat orang kafir, kecuali setelah dia memeluk Islam. Antara pendapat itu, ada yang menyatakan, orang yang meninggalkan puasa itu masih muslim dan mukmin, sehingga dia terang-terang menentang atau meragui kewajipan bersalat dan sebagainya. Mereka hanya dikatigorikan sebagai fasik dan melakukan dosa besar (al-Baghawi, Syarh al-Sunnah, 1/180). Saya lebih cenderung pendapat kedua ini kerana banyak hadis yang menunjukkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah tetap dihukum Islam dan akan dimasukkan ke syurga, sedangkan orang kafir kekal di dalam neraka. 

Berpandukan pendapat kedua ini, orang yang berpuasa tetapi tidak bersalat, tanpa uzur yang munasabah, dianggap sebagai orang yang lemah iman dan dibimbangi imanannya akan terus lenyap dan mati di atas su` al-khatimah. Bagaimanapun, nasib orang ini di Akhirat, terpulang kepada Allah untuk mempertimbangkan amalannya. Allah berfirman:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ (7) وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ (8)

Terjemahan: Sesiapa melakukan amalan baik, nescaya dibalas baik, sesiapa melakukan amalan buruk, nescaya dibalas buruk, biarpun sebesar zarah. (al-Zalzalah: 7-8).

Tentang pelaksanaan amalan sunat tanpa amalan wajib, seperti berbuat kebajikan tanpa membayar zakat, menunaikan solat sunat tanpa solat fardu. Perlu ditegaskan, Allah tidak menerima amalan sunat, hinggalah disempurnakan terlebih dahulu amalan yang awjib. Keadaannya samalah dengan orang yang ingin brsedekah, tetapi enggan membayar hutang. Lunaskan hutang terlebih dahulu, sebelum bersedekah atau berbuat apa jua amal kebajikan.

          Hukum berdoa selepas solat itu hanya sunat sahaja, samalah juga dengan doa-doa yang dibaca dalam suasana-suasana tertentu. Terpulanglah kepada keadaan dan situasi seseorang, jika ada waktu dan kesempatan yang baik, bacalah doa-doa ma`thurat yang disahkan berasal daripada nabi saw, fadilatnya sangat besar. Wallah A`lam.

Dr Abdul Hayei bin Abdul Sukor